Tuesday, January 12, 2010

OBJEKTIF

1. Melahirkan kesedaran dan rasa tanggungjawab dalam pencegahan jenayah.
2. Menanam nilai-nilai moral yang tinggi dalam kalangan pelajar.
3. Menimbulkan kesedaran bahawa pencegahan adalah lebih baik daripada memerangi jenayah.
4. Menyediakan garis panduan tentang cara-cara pencegahan dan menjalankan aktiviti yang berfaedah.
5. Melahirkan pelajar yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara dalam hal menangani jenayah.

MATLAMAT

Matlamat penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah adalah untuk membentuk komuniti murid yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap aspek pencegahan jenayah dan mempunyai kefahaman tentang penguatkuasaan undang-undang dalam konteks mewujudkan masyarakat yang harmoni dan aman.

FALSAFAH

Kelab Pencegahan Jenayah SMK Dato' Bentara Dalam ini berperanan serta bertanggungjawab melahirkan ahli yang kreatif dan inovatif, mempunyai ketahanan diri, berani bersaing, prihatin terhadap bidang yang diceburi, mempunyai wawasan dalam bidang ko-kurikulum dan juga sahsiah, serta menggembleng kreativiti diri secara global demi memartabatkan nama kelab dan sekolah di samping mempunyai keyakinan dan kesedaran diri terhadap motto 'MENCEGAH LEBIH BAIK DARIPADA MEMERANGI'.

Sunday, January 10, 2010

LANGKAH PENCEGAHAN JENAYAH







1. Laporkan kepada guru atau pengawal keselamatan sekiranya ada seseorang atau sesuatu yang mencurigaikan di sekolah.
2. Pastikan pintu bilik-bilik khas, kenderaan, motosikal, dan basikalberkunci rapi.
3. Jauhkan diri daripada tempat sunyi.
4. Pada waktu awal pagi, elakkan berada di tempat sunyi atau gelap. Jika ingin ke tandas, ajaklah kawan.
5. Sentiasa berwaspada dan ingat bahawa jenayah boleh berlaku di mana-mana.
6. Jangan libatkan diri dengan sengketa atau pergaduhan.
7. Pastikan anda sedar di mana terdapat kemudahan telefon awam untuk menghubungi pihak polis, bomba, dan hospital.

Gambar menunjukkan beberapa kemudahan dan langkah-langkah keselamatan yang telah diambil di sekolah.

Saturday, January 9, 2010

HINDARI JENAYAH

TIPS CEGAH JENAYAH

TIPS CEGAH JENAYAH
(Dipetik daripada www.nuclearmalaysia.gov.my)


Walaupun secara asas, umum mengetahui dan pernah mendengar atau membaca sebelum ini, beberapa info dan tips yang diperolehi kemungkinan dapat membantu pembaca-pembaca Harakahdaily sebagai langkah awal mencegah dan menghalang daripada berlakunya jenayah di persekitaran mahupun di kawasan perumahan. Baru-baru ini, penulis berkesempatan menghadiri taklimat ringkas dan sesi dialog Polis Diraja Malaysia daripada cawangan Balai Polis Tun Razak bersama dengan para penduduk di kawasan penempatan penulis yang dirasakan maklumat yang diberikan dapat dikongsikan serba sedikit demi menjaga keselamatan bersama dari segi harta lebih-lebih lagi nyawa.
Berikut adalah tajuk-tajuk maklumat ringkas dan tips cegah jenayah :

1. Jangan melawan atau jadi hero!
Jika berlaku atau anda berdepan dengan kejadian jenayah, lebih-lebih lagi anda menjadi mangsa, dinasihatkan supaya anda tidak melawan atau menjadi hero dalam situasi tersebut.(melainkan yakin dan berkemampuan untuk melawan).
Bagi kes samun atau rompakan, serahkan sahaja apa yang dipinta oleh penjenayah, kerana nyawa lebih penting daripada segalanya. Selepas kejadian, barulah anda membuat laporan polis dengan segera. (Camkan wajah, warna pakaian, plat kenderaan atau apa sahaja yang boleh membantu pihak polis)

2. Penyamaran sebagai polis
Berlaku kejadian, pihak tidak bertanggungjawab atau individu tertentu menyamar sebagai polis dan menahan mangsa untuk tujuan jenayah. Anda mungkin terpedaya untuk
membezakannya. Jika seseorang yang berpakaian preman (biasa, tanpa uniform) menahan anda dan memperkenalkan diri sebagai polis, minta individu tersebut menunjukkan kad kuasa mereka. Bagi Pegawai Polis, kad kuasa mereka berwarna biru seperti menyerupai Mykad manakala polis berpangkat biasa kad kuasa mereka berwarna kuning (kad yang laminate). Dari segi prosidur, anda hanya boleh melihat kad mereka dan tidak sama sekali boleh memegang kad mereka.

3. Lap top (Komputer Riba) dan handpohone dalam kenderaan

Jangan sekali-kali meninggalkan barangan berkenaan di dalam kenderaan anda hatta di
dalam but kereta ataupun di tempat yang tersorok. Penjenayah kini menggunakan peralatan canggih seumpama 'detector' atau alat pengesan yang boleh mengesan barangan terbabit ada di dalam kereta anda ataupun sebaliknya. Modus operandi (MO) mereka lazimnya berada di sekitar kawasan tempat letak kereta.

4. Mengeluarkan wang di bank
Dinasihatkan supaya semua pihak yang ingin mengeluarkan wang di bank terutama dengan
jumlah yang banyak membawa teman atau ahli keluarga bersama untuk keselamatan. Taktik
penjenayah kini ialah berada di sekitar dalam atau kawasan bank dan mengecam kereta yang dipandu oleh mangsa. Setelah itu, penjenayah tersebut akan ke kereta mangsa sewaktu mangsa berada di dalam bank. Penjenayah akan berlakon seolah-olah sedang memeriksa tayar kereta anda dan menekannya dengan kaki mereka. Sebenarnya pada kasut mereka sudah ada paku yang dipasang dan tujuannya adalah untuk memancitkan tayar tersebut. Apabila mangsa memandu kereta, sudah pasti di pertengahan jalan, tayar akan mengalami kebocoran ataupun pancit dan penjenayah yang sedari awal mengekori mangsa akan memberhentikan kenderaan seterusnya menyamun anda. Ada kes yang mereka sanggup memecahkan cermin kerta sewaktu mangsa masih berada di dalam kereta!

5. Jogging di Taman Tasik
Lazimnya sebelum jogging, anda akan meletakkan atau menanggalkan semua barangan
berharga seperti handphone, dompet, cincin atau jam dan meninggalkannya di dalam
kenderaan terutamanya yang menyimpan di dalam kotak belakang motosikal. Awas, sudah
ada kumpulan atau penjenayah yang memerhati dan aktif di kawasn tempat jogging.
Oleh itu tinggalkan barangan tersebut di rumah sahaja atau bawa bersamasama dengan beg kecil (porsh bag).

6. Penempatan atau kawasan perumahan ada kumpulan orang bujang
Jika terdapat kumpulan orang bujang di kawasan perumahan anda terutama yang dicurigai sila maklumkan kepada balai polis yang berdekatan dengan memberi alamat lengkap mereka. Usah bimbang, maklumat dan kerjasama anda dalam hal ini akan dirahsiakan. Polis akan memantau rumah bujang tersebut dan jika perlu akan meminta kerjasama kumpulan bujang tersebut kad pengenalan dan maklumat diri untuk direkodkan dan sebagai data simpanan pihak polis. Polis sedang mengesan, kumpulan bujang yang tertentu yang aktif melakukan jenayah dan operasi mereka ialah menyewa di kawasan rumah anda selama satu atau dua bulan kemudian berpindah ke tempat lain untuk meneruskan operasi mereka.

7. Pencegahan maksiat
Sekadar makluman, pencegahan maksiat di kawasan anda bukan terletak di bidang kuasa
polis tetapi di dalam pengutakuasaan jabatan agama Islam di negeri masing-masing. Hubungi Jawi atau penguatkuasa kawasan masing-masing jika berlaku maksiat di kawasan anda. Pihak penguatkuasa agama akan meminta kerjasama polis dalam hal ini.

8. Tangkapan Awam
Orang awam boleh membuat tangkapan jika berlaku kejadian jenayah di kawasan anda dan
di nasihatkan supaya tangkapan dibuat secara berkumpulan dan tidak boleh melampaui batas seperti mencederakan atau menyebabkan kematian penjenayah. Selepas tangkapan hubungi balai polis berdekatan atau talian hotline.

9. Wanita dan beg tangan
Wanita dinasihatkan untuk berjalan melawan arus jalan dan pastikan beg tangan anda
berada di sebelah bahu dan bukannya di sebalah menghadap kawasan jalan raya. Bagi beg
tangan yang panjang anda dinasihatkan untuk menyilangkannya.

10. Musim Perayaan
Sila maklumkan kepada pihak polis jika anda sedang bercuti khususnya sewaktu musi
perayaan supaya polis dapat memberi rondaan dan tumpuan yang lebih di kawasan dan
rumah anda.

11. Kesalahan memegang kad pengenalan diri
Sekadar info, adalah menjadi satu kesalahan jika anda memegang kad pengenalan diri orang lain hatta kad pengenalan isteri anda ataupun ahli keluaraga, jika ditahan polis anda boleh didakwa.

12. Piawaian polis tiba di tempat kejadian
Piawaian masa PDRM seluruh Malaysia ialah mereka akan memberi respon kepada aduan
atau laporan anda (bagi kes jenayah berat seperti pergaduhan, pembunuhan, rompakan,
rogol, samun, pecah rumah dsb) dengan tiba ke tempat kejadian dalam masa 15 minit. Bagi Polis Kuala Lumpur, masa tiba ke tempat kejadian ialah 12 minit. Jika melepasi waktu tersebut, anda di nasihatkan untuk menghubungi semula pihak polis untuk memaklumkan kelewatan. Untuk maklumat lanjut atau melaporkan jenayah, sila hubungi balai polis berdekatan ataupun talian 999. (Pastikan nombor telefon balai polis berdekatan ataupun nombor telefon hotline
disimpan dalam telefon bimbit anda)


.